Kakitangan KKM ditipu beli emas lelong

Kakitangan KKM ditipu beli emas lelong

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Perasaan was-was menyelamatkan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada menanggung kerugian lebih banyak apabila dia cuba diperdaya dalam urusan pembelian emas lelong di Internet.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa wanita berusia 34 tahun dari Maran tertarik dengan tawaran emas lelong di Facebook.

“Mangsa kemudian klik pautan ke Whatsapp untuk bertanya dan bersetuju untuk membeli emas berkenaan dengan harga RM688,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa membuat bayaran harga emas berkenaan menggunakan perbankan Internet ke akaun yang diberikan suspek.

“Namun, suspek meminta mangsa memasukkan tambahan RM1,500 jika tidak mahu bayaran pertama hangus.

“Mangsa berasa was-was dan memberitahu suspek akan melaporkan perkara itu kepada polis menyebabkan suspek tidak lagi membalas Whatsapp mangsa sebelum mangsa menyekat nombor suspek,” katanya.