Kakitangan KPDNHEP turun padang pantau harga barang

Kakitangan KPDNHEP turun padang pantau harga barang

TEMERLOH: Lebih dua ribu pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turun padang untuk melakukan pemeriksaan harga barang setiap hari di seluruh negara. 

Timbalan Menterinya, Dato’ Rosol Wahid berkata, mereka akan berada di premis yang menjadi tumpuan ramai sempena Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) fasa dua, 1-4 Januari ini.

Menurutnya, kira-kira seribu Pegawai Pemantau Harga akan mempertingkatkan pemantauan harga barang keperluan asas di seluruh negara untuk memastikan bekalan mencukupi dan harga terkawal. 

“Pelaksanaan fasa kedua skim ini adalah komitmen kementerian untuk menyokong inisiatif kerajaan membantu meringankan kos belanja rakyat.

“Tapi, kita tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga barang berikutan musim tengkujuh sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas  melakukan pemeriksaan pematuhan pelaksanaan SHMKM fasa dua di pasar raya TF Supermarket, Temerloh.

Hadir sama, Ketua Seksyen Siasatan dan Serbuan, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Azeem Nazuri. 

Beliau berkata, kementerian juga akan memastikan bekalan dan harga barangan keperluan  perkakasan sekolah, peralatan dan kelengkapan rumah, pakaian dan lain-lain keperluan selepas pasca banjir tidak dinaikkan sesuka hati. – MUHAMMAD NAJMIE