Oleh Mohd Imran Izad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Keprihatinan terhadap golongan asnaf di daerah ini mendorong kakitangan Bahagian Peruncitan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuantan tampil menghulurkan sumbangan barang-barang keperluan harian kepada 20 individu memerlukan.
Jurucakapnya, Razmee Mokhtar berkata, seramai 18 kakitangan Bahagian Peruncitan TNB Kuantan tampil menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program bantuan untuk asnaf.
Katanya, pihaknya juga mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tabung Beras 8 Asnaf bagi menjayakan program prihatin sempena Ramadan kali ini.
Menurutnya, sumbangan membabitkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, garam dan ketupat segera. Agihan dibuat kepada 20 asnaf di Kampung Cempaka dan Kampung Permatang Badak.
“Sumbangan turut diberikan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU), pesakit kronik dan mereka yang tiada sumber pendapatan disebabkan wabak COVID-19.
“Kita juga memberi bantuan kepada beberapa keluarga yang tidak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang (JKM) dan ada di kalangan mereka yang memohon bantuan untuk membaiki dinding rumah,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Tabung Beras 8 Asnaf, Amalina Ahmadnudin berkata, lebih banyak bantuan akan diberikan pada masa akan datang terutama di kawasan luar bandar.
“Kita amat simpati dengan nasib golongan asnaf dan hanya bantuan keperluan asas sahaja dapat meringankan beban mereka yang kesempitan hidup.
“Saya berharap dengan sedikit bantuan yang diberikan ini dapat menceriakan golongan terbabit menyambut Aidilfitri minggu depan,” katanya yang berharap lebih banyak NGO tampil menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf.