Kalau sudah ajal

Kalau sudah ajal

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN:  Seorang warga emas yang baru selesai menjalani kuarantin Covid-19 maut ketika menerima rawatan apabila ambulans yang membawanya pulang terbabas masuk longkang di Kilometer 21, Jalan Pekan-Batu Balik, Pekan, pada 4.15 petang semalam.

Mangsa, Allahyarham Husin Abd Hamid, 74, dari Felda Chini Timur 1, Pekan disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Pekan, pada 10.20 malam, hari yang sama. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohamad Daud, pemandu ambulans, Zulkafli Yasin, 50, sakit dada manakala jururawat, Nurul Shaqima Hidayah Abdul Jamal cedera pada bahagian belakang.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, ambulans berkenaan dalam perjalanan menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Felda Chini Timur 1.

“Mangsa yang turut menghidap lelah kronik itu baru selesai menjalani proses kuarantin di Hospital Pekan. 

“Ketika tiba di lokasi kejadian di mana keadaan jalan agak berbatu kerana sedang dalam proses dinaiktaraf, ambulans berkenaan hilang kawalan menyebabkan ia terbabas ke dalam longkang,” katanya.

Kamarulzaman berkata, akibat kejadian mangsa, pemandu dan jururawat dilaporkan cedera dan dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.