Kali ini Pahang bantu Terengganu pula

Kali ini Pahang bantu Terengganu pula

KUANTAN: Kehadiran lebih 350 sukarelawan daripada 24 agensi jabatan kerajaan  dan badan bukan kerajaan (NGO) Pahang turun padang bantu mangsa banjir di Hulu Terengganu, semalam. 

Selain membersih kediaman yang ditenggelami banjir, misi bantuan pasca banjir turut mengagihkan barangan keperluan asas.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, misi bantuan pasca banjir itu bertujuan meringankan beban mangsa banjir di beberapa kampung tradisional di Hulu Terengganu.

Menurutnya, penyertaan sukarelawan itu sesuatu yang membanggakan, bukti keprihatinan pihak terbabit terhadap mangsa banjir di negeri jiran.

“Ramai sukarelawan dari Terengganu datang ke Pahang untuk bantu mangsa banjir di beberapa kawasan di daerah ini, tahun lalu. Kali ini kita bantu mereka pula,” katanya selepas melakukan pelepasan Misi Bantuan Sukarelawan Pasca Banjir ke Hulu Terengganu di perkarangan bangunan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Turut sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman. – MOHD IMRAN IZZAD