Kami dah sedia, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin

Kami dah sedia, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar dan video Zulkepli Osman

TEMERLOH: Seramai 50 terdiri daripada pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin di sini, mempertingkatkan persediaan membabitkan operasi menyelamat di air bagi menghadapi banjir di daerah ini yang dijangka berlaku penghujung tahun ini.

Ketua Balainya, PKPgB Jalailudin Abdul Mubin, berkata pihaknya kini giat melakukan latihan sebagai persediaan untuk kerja-kerja menyelamat mangsa ketika musibah banjir melanda nanti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Buki Angin, Temerloh,  PKPgB Jalailudin Abdul Mubin,

Selain itu, katanya, latihan diadakan bagi menguji ketahanan aset terutama empat bot yang dimiliki balai berkenaan.   

“Latihan kali ini dilakukan selama tiga hari berturut-turut bermula semalam untuk tiga pasukan di bawah balai kita.

“Latihan ini untuk menguji jentera, keanggotaan dan kesiapsiagaan latihan kepada jurumudi bot dan jika berlaku bencana atau sesuatu tidak diingini, kita dah bersedia,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga membuat tinjauan ke lokasi hotspot dengan memudik Sungai Pahang.

“Antara kawasan terbabit ialah Kampung Paya Jauh, Pulau Pasir Mandi, Purun dan Sawah. 

“Kita juga berterima kasih kepada Pejabat Dun (Dewan Undangan Negeri) Kerdau yang turut menyediakan dua bot bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat di kawasan berkenaan sekiranya banjir melanda,” katanya.