Kami minta 48 jam, kata CEO PAIP

Kami minta 48 jam, kata CEO PAIP

KUANTAN: Kerja-kerja pintasan paip air di kawasan Mahkota Golf and Country Club (MGCC), Indera Mahkota di sini, hampir sempurna dan kini memasuki fasa akhir membabitkan penyambungan paip.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari, berkata pihaknya bagaimanapun perlu menutup bekalan air bagi menyiapkan kerja-kerja penyambungan itu, namun yakin ia tidak akan melepasi tempoh 48 jam.

Pekerja bertukus lumus  memasang paip baharu yang dialihkan bagi mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan paip bekalan air mentah utama pecah di MGCC di sini.

“Kerja ‘bypass’ (pintasan) dah siap, sekarang ini tinggal nak sambung (paip) sahaja, tapi kita perlu tutup air dan lepas tutup perlu tunggu lima jam untuk air kering baharu boleh buat kerja-kerja kimpalan.

“Kita minta 48 jam, mungkin boleh siap awal… tapi kami yakin paling lewat 48 jam,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika melakukan tinjauan kerja-kerja pintasan paip air di MGCC di sini, hari ini.

Fikrah Pahang sebelum ini melaporkan beberapa kawasan di daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air pada 20 September ini (esok) berikutan kerja-kerja penyambungan paip air mentah yang dilakukan PAIP di MGCC, Indera Mahkota, di sini.

Kerja-kerja pintasan itu perlu dilakukan selepas PAIP mengesan berlakukan kejadian paip lama pecah di MGCC yang mengakibatkan gangguan bekalan air di banyak kawasan di daerah ini kira-kira dua minggu lalu.

Mengulas lanjut, Saiful Zaini berkata, pihaknya serius menangani masalah berkenaan dan bekerja 24 jam sehari bagi memastikan kemudahan air pengguna tidak terjejas.

“Sebenarnya kita ada pilihan untuk membaiki paip bocor dengan kos lebih rendah, namun ia akan menyebabkan gangguan air lebih lama dan kita sendiri tak pasti berapa lama ia akan disiapkan.

“Demi kemudahan pengguna, kami ambil keputusan buat kerja-kerja pintasan yang memakan belanja jauh lebih besar, tetapi (gangguan bekalan air) tidak memakan masa lama,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN