Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) bakal melaksanakan projek tanaman durian musang king melalui peruntukan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Ketua Pengarah LPP, Dato’ Azulita Salim berkata, pihaknya sudahpun menyalurkan kira-kira RM3 juta kepada Pasfa daripada RM35 juta peruntukan keseluruhan yang diterima daripada Kementerian Pertanian, tahun ini.
“Peruntukkan itu adalah bagi tujuan pembangunan pertanian yang akan dilaksanakan oleh Pasfa termasuk projek tanaman durian musang king yang akan menelan belanja RM280,000.
“Kira-kira 400 pokok musang king akan ditanam di ladang 20 hektar di Kampung Mahkota,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di ladang berkenaan, hari ini, yang turut hadiri Pengerusi Pasfa, Dato’ Zamri Yaakob.
Katanya, projek tanaman durian musang king itu dijangka akan mula mengeluarkan hasil di antara empat dan lima tahun.
“Kawasan ladang ini juga akan dibuka untuk kunjungan orang ramai yang secara tidak langsung akan memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai pertanian,” katanya.