Kampung Telanok sekarang ni 4G dah

Kampung Telanok sekarang ni 4G dah

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kerjasama erat dan usaha berterusan antara Kerajaan Pahang dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyaksikan semakin banyak kawasan di  Pahang mencapai liputan Internet jalur lebar 4G.

Liputan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu 2020 hingga 2022.

Terbaru, Kampung Telanok (Kampung Orang Asli) di Cameron Highlands menikmati kemudahan itu selepas siap pembinaan menara baharu di kawasan itu, awal Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Arif, berkata ia berita yang amat baik.

“Pembinaan menara baharu di Kampung Telanok itu menggembirakan guru, pelajar dan penduduknya. Saya juga akan mengusahakan dua komputer riba untuk kegunaan SK Telanok,” katanya.

Beliau berkata, 27 menara telekomunikasi baharu juga akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai bagi meningkatkan liputan Internet.

“Untuk makluman, Pahang akan mendapat liputan Internet jalur lebar 4G yang sama seperti semua negeri lain pada akhir tahun depan.

“Semoga usaha kita dipermudahkan dan akan mendatangkan banyak kebaikan kepada negeri dan rakyat Pahang, InsyaAllah,” katanya.