Kan dah kena

Kan dah kena

KUANTAN: Jijik apabila sebuah premis makanan di Tanjung Lumpur di sini dikesan membiarkan sampah bersepah di lantai di tempat penyediaan makanan tanpa dibuang dalam tong sampah.

Sikap tidak bertanggungjawab itu membawa padah apabila Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan arahan penutupan sementara ke atas premis berkenaan kerana berada dalam keadaan kotor. 

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata arahan penutupan premis berkenaan dibuat bagi membolehkan pemiliknya menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Hasil pemeriksaan kita dapati premis terbabit tidak mencapai standard kebersihan sepatutnya seperti ditetapkan.

“Lebih menjijikkan apabila sampah tidak dibuang ke dalam tong sampah dan dibiar atas lantai di bahagian tempat penyediaan makanan,” katanya, di sini semalam.

Menurutnya, pemilik premis dikenakan denda RM500 mengikut Seksyen 5 (a) Undang-Undang Kecil (UUK) Kawalan dan Penyeliaan Tempat-Tempat Makan 1983.

“Empat pekerja premis berkenaan pula dikenakan denda RM250 seorang mengikut Seksyen 107 (2) dan Seksyen 17 (5) UUK Pengendali Makanan 1983 dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM1,500,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.