KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Mas, Sungai Lembing dekat sini, pagi tadi.
Mangsa, Nur Syakirah Shahrizan, 12, cuba diselamatkan penduduk kampung, namun disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, dua adik mangsa turut dibawa arus deras namun sempat diselamatkan bapa mereka.
“Kedua-dua ibu bapa mangsa bekerja sebagai guru, masing-masing berusia 41 dan 40 tahun dari Inderapura, dekat sini. Pasangan itu bersama enam anak termasuk mangsa datang ke lokasi berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi untuk berkelah dan mandi sempena cuti hujung minggu.
“Sekitar 45 minit kemudian, mangsa bersama dua adiknya turun mandi sebelum ketiga-tiga mereka dihanyutkan arus, namun kejadian itu disedari bapa mereka yang sempat menyelamatkan dua adik mangsa,” katanya.
Mohamad Noor berkata, mangsa yang tenggelam ditemui kira-kira 10 minit kemudian selepas usaha mencari dilakukan dengan bantuan penduduk kampung.
“Mangsa diserahkan kepada bapanya sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing, namun disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut,” katanya.