Kantoi rentas negeri naik ambulans sewa

Kantoi rentas negeri naik ambulans sewa

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

TEMERLOH: Empat sekeluarga gagal melepasi sekatan jalan raya apabila ditahan cuba merentas negeri menaiki ambulans hospital swasta di Kampung Tanjung Belenggu, di sini, pada 6.15 petang kelmarin.

Difahamkan, cubaan itu dilakukan suspek berusia 30 tahun dan turut bersamanya adalah wanita dipercayai ibunya, 70, dan dua anaknya, masing-masing berusia 10 bulan dan enam tahun. 

Keluarga itu dikatakan menuju ke kampung mereka di Gemas, Negeri Sembilan.

Suspek dikatakan menyewa ambulans hospital swasta yang datang mengambil mereka di Taman Bahagia, dengan bayaran RM1,300.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof berkata, empat individu iaitu dua penumpang wanita dan juga dua lelaki yang juga pemandu ambulans dan pembantu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mereka gagal mengemukakan surat kebenaran daripada polis. Kami mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat,” katanya. 

Mohd Azhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.