KASA sokong tindakan Kerajaan Pahang tak lulus permohonan baharu untuk melombong di Tasik Chini

KASA sokong tindakan Kerajaan Pahang tak lulus permohonan baharu untuk melombong di Tasik Chini

RTP online

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyokong penuh komitmen Kerajaan Pahang untuk tidak meluluskan sebarang permohonan baharu bagi aktiviti perlombongan di dalam kawasan Tasik Chini.

  Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu seiring dengan persetujuan Kerajaan Pahang mewartakan Taman Negeri Tasik Chini sebagai kawasan Hutan Simpan Chini pada 2019.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri  Tuan Ibrahim Tuan Man

  “Saya juga mengalu-alukan keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) dan Kerajaan Pahang menerusi kenyataan pada hari ini (semalam) bahawa Kerajaan Pahang mengambil serius terhadap kelestarian alam sekitar dan sumber air di kawasan Tasik Chini. 

  “Konsep ‘whole of government approach’ iaitu kerjasama strategik antara KASA dengan agensi-agensi lain termasuk kerajaan negeri ini amat penting bagi memastikan kelestarian tapak ‘Biosphere Reserve, Unesco’ iaitu Tasik Chini sentiasa dilindungi sebagai khazanah alam dunia,” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

  Menyentuh kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengenai kemungkinan terdapat logam di Tasik Chini, Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang sentiasa komited menjalankan pemantauan kualiti air Tasik Chini secara berterusan sejak 2005 lagi.

  “Terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air di lokasi berbeza dengan kekerapan pemantauan sekali setiap bulan bagi setiap stesen.

  Menurutnya, sebanyak 20 parameter diambil kira (analisis) dalam pemantauan yang dijalankan pada setiap stesen.

  “Ia merangkumi pepejal terampai (SS), keperluan oksigen biologi (BOD), klorida, fosfat, sulfat, fluorida, keperluan oksigen kimia (COD), nitrat nitrogen, ammoniakal nitrogen (AN); minyak dan gris serta E.coli dan 9 parameter logam berat merangkumi besi, mangan, tembaga, nikel, plumbum, zink, kadmium, arsenik dan raksa,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

  Katanya lagi, pelaporan dibuat berdasarkan parameter utama iaitu data kualiti air bagi 2016 sehingga Mac 2021 berdasarkan parameter BOD, SS dan AN menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih.