Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.m
BENTONG: Polis Bentong melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap operasi pusat kasino di Genting Hinghlands, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil pemeriksaan itu mendapati operasi kasino terbabit tutup sepenuhnya.

Katanya, pemantauan dan pemeriksaan itu dilakukan beliau bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.
“Pada 11 malam tadi, saya dapati pusat kasino terbabit ditutup sepenuhnya selaras dengan arahan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mematuhi kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
Semalam, Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, semua operasi membabitkan kasino di Genting Highlands akan dihentikan sepenuhnya bermula tengah malam tadi.
Operasi terbabit dihentikan berikutan aktiviti kasino yang berjalan seperti biasa, meskipun selepas dikaitkan dengan beberapa kes positif COVID-19.