Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar
PENYERANG import Sri Pahang FC, Aung Kaung Mann yang membantu skuad itu menang 1-0 ke atas PJ City FC Ahad lalu, mahu meneruskan aksi cemerlangnya.
Justeru, pemain Myanmar itu mengharapkan prestasi terbaik dapat dipersembahkan pada enam baki perlawanan untuk meletakkan skuad Tok Gajah pada kedudukan terbaik musim ini.
Katanya, segalanya akan dilakukan untuk memastikan Sri Pahang menamatkan saingan liga dengan keputusan membanggakan.
“Kami sudah bersedia meneruskan perjuangan pada perlawanan seterusnya. Terima kasih kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan.
“Kemenangan ke atas PJ City bukan semata-mata kerana saya jaringkan gol tetapi lebih kepada kerja berpasukan,” katanya di Kuantan, hari ini.
Pada jendela perpindahan kedua, Sri Pahang menyenaraikan Kaung Mann sebagai pemain import baharu dalam memperkasakan jentera serangan.
Setakat ini, pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan dua gol, masing-masing satu ketika Sri Pahang menang 3-2 ke atas Perak dan PJ City (1-0).