Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Lelaki di Temerloh kerugian RM20,000 selepas diperdaya tawaran kerja palsu oleh rakannya bernama ‘Alex’, pada 15 Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata ia bermula apabila mangsa berusia 53 tahun menerima panggilan telefon daripada Alex, yang menawarkan pekerjaan di Kuala Lumpur sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat pembinaan.
Menurutnya, suspek mendakwa jika mangsa bersetuju, seorang lelaki bernama Datuk Chan Hui Fat iaitu pemilik syarikat pembinaan itu akan menghubunginya bagi menawarkan pekerjaan berkenaan.
“Mangsa kemudian menerima SMS daripada Datuk Chan yang memaklumkan syarikat memerlukan khidmat pengawal keselamatan di tapak pembinaan dan menawarkan pekerjaan itu kepadanya
“Mangsa menerima tawaran terbabit. Selepas itu, mangsa menerima slip penyata gaji yang berjumlah RM70,000 kononnya sebagai pembayaran awal untuk kerja yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan media hari in.
Mohd Wazir berkata, selepas menerima tawaran kerja itu, suspek yang juga rakannya itu mahu berjumpa dengan mangsa.
Menurutnya, pada perjumpaan itu suspek memaklumkan mahu meminjam RM20,009 kerana ibunya terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Katanya, suspek turut menunjukkan gambar kereta yang digunakan, keadaan ibunya yang terlantar di hospital dan berjanji akan membayar semula wang itu.
“Mangsa percaya dan bersetuju untuk meminjamkan wang kepada suspek sebagai membalas budi di samping yakin RM70,000 tunai akan masuk ke dalam akaun banknya.
“Bagaimanapun, selepas agak lama menyepi, mangsa menghubungi suspek dan bertanyakan wang yang dipinjam. Namun, suspek memberi pelbagai alasan,” katanya.
Mohd Wazir berkata, pada Isnin lalu, mangsa pergi ke syarikat terbabit bagi membuat semakan terhadap slip penyata bayaran gajinya.
Bagaimanapun, kakitangan syarikat terbabit memaklumkan penyata yang diterima mangsa adalah palsu.
“Mangsa kemudian merasakan dirinya ditipu kerana tidak dihubungi oleh Datuk Chan. Semakan terhadap gambar kemalangan ibu suspek juga kita mendapati ia diambil daripada Internet,” katanya.
Berikutan itu, katanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh selepas mensyaki rakannya yang juga suspek dan Datuk Chan bersepakat untuk mengambil duitnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.