Kawasan bekas seliaan DARA dan LKWJ perlu diberi peruntukan, kata MB

Kawasan bekas seliaan DARA dan LKWJ perlu diberi peruntukan, kata MB

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan Facebook Wan Rosdy Bin Wan Ismail

KUANTAN: Kerajaan perlu menyalurkan peruntukan untuk pembangunan kawasan bekas seliaan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ).

Perkara ini ditekankan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika menghadiri mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) secara maya yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Wan Rosdy berkata, peruntukan berkenaan perlu bagi membolehkan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan kerja-kerja penyelenggaraan bagi manfaat rakyat setempat.

“Petang ini, saya hadiri mesyuarat ECERDC dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Pelbagai perkara dibincangkan termasuk mengenai pelaburan membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing, Johor demi meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk.

“Bagi Pahang, saya tekankan mengenai peruntukan yang perlu disalurkan ke kawasan bekas seliaan DARA dan LKWJ yang telah lama dibubarkan atas syor Kerajaan Persekutuan.

“Peruntukan ini perlu untuk melaksanakan projek-projek pembangunan, dan kerja-kerja penyelenggaraan demi manfaat penduduk terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian di laman Facebook rasminya, hari in.