KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan mengambil inisiatif yang lebih jitu untuk kelestarian alam sekitar apabila memperkenal fasiliti pengurusan sisa lengai atau sisa binaan dan perobohan dengan mewujudkan tapak pelupusan untuk bahan itu.
Bersaizkan 2.25 hektar di Jalan Kuantan-Bypass di Mukim Sungai Karang, di sini, tapak itu akan menerima buangan sisa bangunan yang dirobohkan untuk diproses dan ditambun di kawasan itu.
Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin yang merasmikan tapak pelupusan itu, semalam, berkata tapak itu lama-kelamaan akan diubahsuaikan untuk dijadikan kawasan aktiviti awam dan pelancongan.
“Ia tidak mustahil untuk dijadikan kenyataan kerana proses pelupusan sisa buangan mulanya dihancurkan di kawasan ini,” katanya.
Katanya, idea untuk mewujudkan tapak itu adalah inisiatif Alam Flora Environmental Solutions (AFES) Sdn Bhd iaitu anak syarikat kepada Alam Flora Sdn Bhd.
Sementara itu pengarah AFES, Dato’ Mohd Zain Hassan, berkata, Fasiliti Pengurusan Sisa Lengai itu adalah satu-satunya fasiliti inisiatif hijau yang khusus menguruskan sisa lengai (pelupusan sisa binaan dan perobohan). – HUSIN IBRAHIM