Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUANTAN: Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Pahang menolak dakwaan pihak tertentu kononnya kawasan perlombongan di sekitar Tasik Chini berada dalam rizab hutan simpan.
Jelasnya, sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan di kawasan berkenaan sebelum pewartaan dibuat pada 2019.
“Namun selepas pewartaan iaitu sejak 2019, tiada lesen baharu dikeluarkan menurut kenyataan rasmi Pejabat Tanah dan Galian Pahang.
“Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2019, juga bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

YARM Pahang berkata, kawasan yang sudah diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini itu juga dicadangkan oleh pihaknya sebagai kawasan baharu Rizab Biosfera UNESCO.
“Kita yakin dan percaya serta menyokong usaha komited berterusan Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail memelihara dan memulihara alam sekitar seperti di Cameron Highland dan Raub.
“Kita juga menyanggah tindakan sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh, sedangkan fakta sebenar dimanipulasi demi kepentingan pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan politik dan mencetuskan provokasi,” katanya.