Kawasan pelancongan tunggu lampu hijau MKN dan SUK Pahang

Kawasan pelancongan tunggu lampu hijau MKN dan SUK Pahang

Oleh Husin Ibrahim 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

TEMERLOH: Kawasan tarikan pelancongan di Pahang dalam kategori ‘green travel bubble’ atau perjalanan gelembung kawasan hijau boleh dibuka apabila mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Komoditi dan Perladangan Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata kerajaan negeri bercadang untuk membuka kembali Bukit Fraser, Pulau Tioman, Genting Highlands dan Taman Negara. 

Mohd Sharkar berkata, ia berdasarkan peratusan besar atau hampir keseluruhan masyarakat setempat di kawasan pelancongan itu sudah menerima suntikan vaksin dan menepati syarat imuniti kelompok. 

Katanya, kawasan yang hendak dibuka semula itu perlu melengkapi syarat itu dan boleh dikunjungi pelancong walaupun ia terletak dalam daerah yang tidak boleh dilawati.

“Contoh Bukit Fraser sudah mendapat status ‘green travel bubble’. Ia boleh dilawati oleh pelancong luar walaupun ia berada dalam daerah Raub yang kemungkinan ketika itu mempunyai beberapa kawasan lain yang tidak boleh dikunjungi. 

“Jika larangan rentas negeri masih berkuatkuasa, ia bermakna hanya pelancong dalam negeri Pahang dari daerah berbeza sahaja yang boleh menunjungi kawasan pelancongan dalam kategori ‘green travel bubble’ itu. 

“Mereka yang terbabit dalam industri pelancongan pula hendaklah bersedia menerima kunjungan orang luar dengan pematuhan SOP yang ketat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Komoditi dan Perladangan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin memberikan sumbangan kepada  pemandu pelancong(nature.guide) Kuala Gandah termasuk lima orang daripada Persatuan Pemandu Pelancong Pahang yang terjejas pendapatan akibat perlaksanaan pelbagai perintah kawalan pergerakan di pejabat khidmat rakyat nya di Lanchang, Temerloh.

Mohd Sharkar berkata demikian selepas memberi sumbangan kewangan kepada 30 pemandu pelancong Kuala Gandah, termasuk lima wakil Persatuan Pemandu Pelancong Pahang yang terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan PKP. 

Selain itu, beliau juga diminta mengulas arahan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti pendakian dan rintis hutan dalam kawasan taman eko-rimba.

Beliau berkata, kawasan yang dimaksudkan oleh JPNP itu adalah di luar kawasan pelancongan yang sudah mencapai status imuniti kelompok.

“Begitu juga dengan syarat lengkap dua dos bagi setiap pelancong, jumlah pengunjung, jumlah hari, umur, kapasiti pusat pelancongan untuk menerima pengunjung pada satu-satu masa dan jumlah tempat letak kereta,” katanya.