Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustafa Kamal
PEKAN: Kasih dan keprihatinan KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap rakyat Pahang sentiasa mekar dan ia disaksikan menerusi sumbangan bagi membina kediaman baru untuk dua mangsa banjir yang terjejas teruk di daerah ini.
Malah, baginda sanggup mencemar duli melawat pembinaan Rumah Bantuan Banjir yang menelan belanja RM100,000 itu di Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Sungai Ganchong, di sini, hari ini.
Dalam lawatan ke kawasan pembinaan rumah pertama milik Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, Al-Sultan Abdullah berkenan mendengar taklimat disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Ir Hafizah Zakaria.
Mohd Khanafiah ketika ditemui berkata, dirinya berasa amat bertuah dan berterima kasih dengan kurniaan baginda itu.
“Rumah lama saya yang terletak di pinggir sungai rosak teruk akibat banjir bulan lalu, seperti menunggu masa saja hendak roboh dan dinding kayu seakan mereput.
“Saya diberitahu rumah baru ini dijangka siap dalam masa 16 minggu dan dibina dengan tiang setinggi 2.4 meter dari aras tanah supaya tak terjejas dek banjir. Rumah ini dibina atas tanah keluarga dan ia dipersetujui adik beradik lain,” katanya yang masih bujang.
Kemesraan Al-Sultan Abdullah turut terserlah apabila baginda sempat berseloroh dengan Mohd Khanafiah menyuruhnya berkahwin kerana rumah baru berkenaan mempunyai tiga bilik.
Berangkat sama dalam lawatan itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja, Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Turut hadir, Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Pasir Pahang Bhd (PPPB) Lt Kol (B) Dato’ Nor Hashim Abdul Aziz.
Baginda Al-Sultan Abdullah kemudian berkenaan berangkat ke Kampung Sungai Ganchong untuk melawat pembinaan kediaman baru seorang lagi penerima sumbangan Rumah Bantuan Banjir, Norhasnah Mat Yunos, 60.
Ketika ditemui, Norhasnah yang juga ibu tunggal berkata, dia tidak pernah termimpi menerima sumbangan rumah percuma, apatah lagi ‘hadiah’ berkenaan hasil kurniaan Yang di-Pertuan Agong.
“Memang setiap tahun rumah makcik dinaiki air tapi kali ini terjejas teruk. Tak terfikir pula dapat rumah baru, lebih-lebih lagi dah 40 tahun tinggal di rumah lama.
“Makcik bersyukur sangat dan mendoakan KDYMM Tuanku selamat di dunia dan di akhirat nanti,” katanya.