KDYMM Tengku Hasanal kurniakan ‘hadiah’ Ramadan paling indah

KDYMM Tengku Hasanal kurniakan ‘hadiah’ Ramadan paling indah

Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof

helmy@fikrahpahang.com.my

PEKAN: Hadiah Ramadan paling indah. 

  Itulah yang dirasakan ahli jawatankuasa dan kariah Masjid Sri Maulana, Taman Sri Maulana, di sini, sebaik menerima perkhabaran mengenai kesudian KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan dana peribadi bagi bayaran kompaun yang dikenakan atas kegagalan pengurusan masjid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada Selasa lalu.

LUNAS…resit bayaran kompaun dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan kepada pengurusan Masjid Sri Maulana, Taman Sri Maulana selepas didapati melanggar SOP berkaitan COVID-19.

  Pada masa sama, pihak pengurusan masjid akur dengan kelemahan yang berlaku sehingga Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan mengeluarkan kompaun RM10,000 sebelum dikurangkan sebanyak 50 peratus selepas rayuan dilakukan.

  Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, pihak pengurusan masjid menyampaikan sendiri rasa syukur dan gembira kepadanya dalam pertemuan dengan mereka, baru-baru ini.

  “Mereka (pengurusan masjid) menjunjung kasih atas keprihatinan baginda Pemangku Raja yang sudi membayar kompaun menerusi kurniaan peribadi tuanku dan saya dititahkan untuk membayar kompaun berkenaan.

  “Pihak masjid juga mengakui akan kelemahan mereka sehingga dikenakan kompaun seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Fikrah Pahang, hari ini.

  Sebelum ini tular mengenai kompaun dikenakan ke atas masjid berkenaan yang dikatakan tidak mematuhi SOP kerana gagal menyediakan pengimbas kod bar MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan.

Mohd Nasrul Hakim (kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Maulana, Pekan, Kamaluddin Adam (tengah) selepas membuat bayaran di PKD Pekan.

  Pada Jumaat, tular gambar dalam satu hantaran media sosial yang menyatakan kesyukuran di atas kesudian Tengku Hassanal Ibrahim mengurniakan dana peribadi bagi membayar kompaun yang dikenakan.

  Menceritakan kembali bagaimana Tengku Hassanal Ibrahim mengambil inisiatif mengurniakan dana peribadi untuk membayar kompaun itu, Mohd Nasrul Hakim berkata, baginda menitahkannya menghadap dan bertanyakan hal berkenaan selepas tular di media sosial.

  “Saya persembahkan kepada Tuanku mengenai apa yang berlaku dan Tuanku kemudian perkenan menitahkan saya untuk menguruskan bayaran kompaun selepas masjid membuat rayuan pengurangan bayaran.

  “Keesokan harinya, saya bersama ahli jawatankuasa masjid hadir untuk membuat pembayaran saman dan keesokannya sekali lagi kami menghadap baginda Tuanku bagi menceritakan status terkini mengenai hal itu,” katanya.