Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUANTAN: Keadaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh masih terkawal biarpun berlaku penularan kes COVID-19 di hospital itu.
Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, setakat ini, aktiviti kawalan sedang dilaksanakan bagi menghentikan penularan jangkitan.

Bagi memastikan keselamatan semua pesakit baharu dan pelawat, katanya, semua wad sudah ditutup untuk kemasukan baharu kecuali bagi kes kritikal iaitu dua wad pelbagai disiplin.
“Bagaimanapun, perkhidmatan kecemasan, perbidanan (obstetrik) dan paediatrik masih beroperasi.
“Semua pesakit yang tidak kritikal tetapi memerlukan kemasukan ke hospital akan dialihkan ke hospital pakar lain di Pahang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 37 kes COVID-19 dikesan di HoSHAS, namun jangkitan berlaku di wad biasa dan bukannya di wad dikhaskan untuk pesakit COVID-19.
“Penilaian risiko sudah dilakukan kepada semua yang terbabit manakala kontak rapat kepada kes positif dibuat saringan COVID-19 dan diasingkan,” katanya.