Kebajikan mangsa kebakaran di Kampung Batu Satu diutamakan

Kebajikan mangsa kebakaran di Kampung Batu Satu diutamakan

TEMERLOH: Kebajikan mangsa kebakaran di Kampung Batu Satu, di sini akan diberikan keutamaan dalam usaha meringankan beban yang dialami keluarga terbabit

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin meminta semua mangsa bersabar dengan musibah yang menimpa mereka.

“Saya dan Dato’ Nor Azmi Mat Ludin (Adun Kuala Semantan) akan membantu sebaik yang mungkin untuk kebajikan mangsa kebakaran.

“Terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan barisan kepimpinan setempat kerana segera membantu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, berkata demikian selepas melawat tapak kebakaran membabitkan empat premis bangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin (duduk, dua dari kiri) dan Adun Kuala Semantan,  Dato’ Nor Azmi Mat  Ludin (duduk, kiri) mengadakan pertemuan dengan mangsa kebakaran membabitkan empat premis bangunan.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, hari ini, lima premis, termasuk sebuah rumah musnah dalam kebakaran itu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN