Kebajikan nelayan dalam radar BN 

Kebajikan nelayan dalam radar BN 

KUANTAN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar, kebajikan nelayan akan terus dipelihara dan diperkemaskan jika beliau memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.

Menurutnya, nelayan pesisir pantai yang menggunakan bot gentian kaca bersaiz sederhana memerlukan lebih banyak bantuan seperti peralatan menangkap ikan.

“Saya tidak nafikan kerajaan melalui Jabatan Perikanan Pahang ada menyediakan pelbagai bantuan kepada nelayan terbabit. 

“Namun, kebanyakan peralatan seperti pukat sudah lusuh dan hampir rosak. Ada yang sudah tidak boleh digunakan lagi.

“Kebajikan nelayan perlu selalu diberi keutamaan. Saya akan cuba untuk memperkemaskan kebajikan mereka jika menang Parlimen Kuantan,” katanya pada program bersama warga nelayan pesisir pantai daerah ini, di sini, hari ini.

Turut sama calon BN DUN Tanjung Lumpur, Nara @ Nikman Nordin.

Lebih 70 nelayan pesisir menyertai program berkenaan dan menerima bantuan segera berupa jaket keselamatan.

Nelayan, Razak Sulung, 67 berkata, dia ada menerima bantuan pukat daripada kerajaan selain elaun sara hidup nelayan dan subsidi minyak.

“Saya berharap BN dapat terus membela nasib golongan nelayan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Keprihatinan kerajaan pusat dan negeri mampu memberi sinar baharu kepada nelayan pesisir pantai yang pendapatan tidak seberapa,” katanya yang telah sepuluh tahun sebagai nelayan. – MOHD IMRAN IZZAD