Kebun cili di tengah bandar Kuantan

Kebun cili di tengah bandar Kuantan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Dapur Infaq Ummah Kuantan membangunkan projek tanaman cili fertigasi yang diusahakan lima individu komuniti lorong Wong Ah Jang  sebagai usaha meningkatkan taraf hidup mereka. 

Pengasasnya, Badrul Jamili Kamaruddin, berkata projek perintis itu membabitkan kira-kira 2,000 polibag dan mula dilaksanakan awal Julai lalu. 

“Kita tidak menyangka idea untuk membantu golongan rentan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar mendapat perhatian Kerajaan Pahang yang sudah menyumbang pelbagai bentuk bantuan bagi projek terbabit. 

KUANTAN…
Pengasas Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin (kanan) melawat projek tanaman cili fertigasi yang diusahakan komuniti Lorong Wong Ah Jang.

“Beberapa agensi dan NGO seperti Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yayasan Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut membantu kita melaksanakan projek itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas  meninjau tapak Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara bagi komuniti rentan Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah, di sini, semalam.

Badrul Jamili berkata, projek penanaman itu membuka peluang pekerjaan kepada peserta yang berminat untuk mengubah sosio ekonomi mereka ke arah yang lebih baik.

“Projek ini dijangka mengeluarkan hasil pertama pada akhir tahun ini dengan anggaran 600 kilogram cili purata sebulan. 

“Ia akan memberikan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan kepada mereka. Saya yakin dengan pendapatan  sebanyak itu mampu memberikan kehidupan baharu buat mereka,” katanya.

Beliau berkata,  projek penanaman cili ini akan diperluaskan sekiranya projek perintis yang membabitkan lima peserta ini berjaya. 

“Kita amat yakin lebih ramai golongan rentan berminat untuk menjadi usahawan tani selepas melihat kejayaan lima rakan mereka ini,” katanya yang menyifatkan projek itu unik dan berbeza kerana lokasi penanaman cili terletak di tengah bandar Kuantan.