Kebun nangka, pisang musnah angkara gajah

Kebun nangka, pisang musnah angkara gajah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Dua pekebun nangka madu dan pisang kerugian lebih RM70,000 selepas kebun mereka diceroboh sekumpulan 12 gajah di projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana, dekat sini, awal pagi ini. 

Mohd Derus Abdul Latif, 62, berkata dia kerugian lebih RM50,000 apabila 25 pokok nangka yang sedang mengeluarkan hasil dimusnahkan haiwan berkenaan yang berada dalam kebunnya kira-kira sejam bermula 1.30 pagi.

Menurutnya, haiwan berkenaan merosakkan pagar elektrik yang disediakan Jabatan Pertanian Pahang di kedua-dua kebun yang diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, kedudukan TKPM Kota Perdana bersebelahan dengan Hutan Simpan Ibam, Rompin, yang menjadi habitat gajah berkenaan.

“Pekerja kebun menghalau haiwan itu dengan cara membuat beberapa unggun api dan menghidupkan mesin gergaji kayu secara berterusan. Kejadian itu paling teruk pernah berlaku sepanjang 10 tahun saya mengusahakan nangka madu J33,” katanya yang juga pesara Jabatan Pertanian Negeri Pahang.

Beliau berkata, rakannya kerugian lebih RM20,000 berikutan berpuluh pokok nangka dan sehektar kebun pisang musnah dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Rozidan Md Yasin, berkata pihaknya akan menyiasat kejadian sebelum sebarang tindakan dilakukan.