Kegembiraan berganda buat si ibu

Kegembiraan berganda buat si ibu

KUANTAN: “Kedatangan 2022 ternyata memberi kegembiraan berganda buat saya apabila melahirkan anak sulung pada 1 Januari lalu.

“Tambah menggembirakan, bila dapat tahu Kerajaan Pahang menyediakan ‘hadiah’ untuk bayi yang lahir tahun ini,”  kata Nor Amira Fatin Ngah, 30.

Menurut ibu muda itu, dia dan suami, Hanif Mohamad Ishak, 27, amat bersyukur dengan keprihatinan kerajaaan negeri yang diterajui Barisan Nasional atas inisiatif yang diterima itu.  

“Saya juga amat terharu apabila Dato’ Mus (Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid) datang sendiri ke rumah saya untuk menyampaikan sumbangan ini.

“Memang sumbangan ini amat bermakna dan dapat membantu sedikit sebanyak untuk keluarga kecil kami,” katanya yang menamakan bayi perempuannya Nor Adelia Naura Hanif.

Dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, bulan lalu, Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan setiap bayi dilahirkan di Pahang mulai 2022 akan menerima saguhati RM200 di bawah Program Anak Kebanggaan Pahang.

Katanya, pemberian RM200 untuk setiap kelahiran itu adalah untuk simpanan dan barangan penjagaan bayi dan ibu ketika berpantang.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi menjayakan program ini,” katanya.

Sementara itu, Mustaffar berkata, sumbangan itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa cakna dan komited untuk memberi yang terbaik kepada anak Pahang. – HELMY ABD RAHMAN