Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
ROMPIN: Kerajaan Pahang memberikan sumbangan khas kira-kira RM14,000 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terbabit dengan operasi menenggelamkan tiga bot nelayan asing untuk dijadikan tukun di Kampung Tekek, Pulau Tioman.
Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain kepada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan.
Mohd Johari berkata, sumbangan khas Kerajaan Pahang itu disediakan selepas mendapat kelulusan daripada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang menghargai kesungguhan dipamirkan oleh APMM.
“Sebagai mewakili rakyat, saya mengucapkan terima kasih kepada APMM atas usaha yang dilakukan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman berkata, difahamkan dalam 24 jam sahaja pelbagai jenis ikan akan datang untuk menjadikan bot itu sebagai habitat.
“Saya harap APMM selepas ini sekali lagi memilih Tioman sebagai tempat mereka melabuhkan bot nelayan asing untuk dijadikan tukun tiruan,” katanya.