BERA: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor) bukan menjadi faktor penentu untuk pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO berkata, keputusan mengadakan PRU akan dilakukan selepas melihat pelbagai faktor, termasuklah persediaan dan perbincangan dengan pimpinan parti.
“Sebab itu saya katakan setiap keputusan kita akan bincang dalam parti. Tidak boleh ada satu kumpulan kecil hendak PRU. Kita buat PRU kerana semua keputusan perlu dibincangkan secara serius dalam parti.
“Kita tunggu masa sesuai, parti sudah boleh berbincang dan apabila kita rasa sudah bersedia, bolehlah diadakan PRU-15 ,” katanya dalam sidang media selepas Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM), di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, di sini, hari ini.
Semalam, BN berjaya memperoleh majoriti melepasi dua pertiga selepas meraih 40 kerusi, manakala Perikanan Nasional (PN) mendapat tiga kerusi, DAP (sembilan kerusi), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (1), Parti Amanah Negara (1) dn PKR (1).
Ismail Sabri berkata, keputusan untuk mengadakan PRU-15 tidak boleh dilakukan sewenang -wenangnya dan perlu dibincangkan serius dalam parti dan melihat pandangan pelbagai pihak.
Mengulas mengenai kemenangan BN dalam PRN Johor, beliau berkata, ia adalah kemenangan di luar jangkaan yang menunjukkan kepercayaan rakyat kepada BN.
Katanya, kemenangan itu menunjukkan rakyat Johor bijak menilai selepas sudah pastinya membuat perbandingan antara pemerintahan BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya harap selepas ini tiada perpecahan sesama rakyat di Johor dan semua pihak sama ada menang atau kalah kena sokong kerajaan negeri membangunkan negeri Johor untuk rakyat,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE