SRI Pahang FC (SPFC) perlu mengekalkan pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo bagi saingan Liga Malaysia musim depan.
Permintaan itu disuarakan ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh berdasarkan prestasi dan kelebihan yang dimiliki pemain berumur 22 tahun itu.
Justeru, beliau akan memastikan pengurusan kelab tidak menunggu lama untuk melanjutkan kontrak Hidalgo yang diyakini menyerlah pada musim 2022.
“Pada pandangan saya, sebagai pemain muda dan berpengalaman, khidmat Hidalgo perlu dikekalkan musim depan,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Musim ini, kehadiran Hidalgo pada jendela perpindahan kedua banyak membantu memperkasakan jentera tengah skuad Tok Gajah itu.
Selain Hidalgo, empat pemain import lain yang menyarung jersi Sri Pahang musim ini ialah Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenny Athiu dan Aung Kaung Mann.
Namun, nasib empat pemain berkenaan belum dipastikan sama ada kekal atau kontrak mereka tidak dilanjutkan musim depan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN