Kelonggaran syarat berniaga ketika COVID-19 legakan penjaja dan peniaga kecil

Kelonggaran syarat berniaga ketika COVID-19 legakan penjaja dan peniaga kecil

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Langkah kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memberi kebenaran kepada orang ramai berniaga di mana-mana lokasi yang sesuai berikutan tekanan kewangan akibat COVID-19 nyata memberi kelegaan kepada peniaga kecil.
Malah, peniaga yang ditemui memuji langkah MPK yang sanggup turun padang menyerahkan dan mengutip bayaran permit harian daripada peniaga.
Tinjauan Fikrah Pahang di Sungai Isap dan Taman Tas di sini juga mendapati, rata-rata peniaga menguruskan gerai dengan amat baik dan bersih.
Peniaga apam balik di Taman Tas, Angriawan Azmon, 33, berkata langkah berkenaan memudahkannya berikutan tidak lagi perlu bersusah-payah ke kaunter MPK untuk memohon dan membayar permit harian.
“Langkah ini menjimatkan masa kami sebagai peniaga. Memang cara MPK ini bagi saya terbaik kerana bukan sahaja lebih ramai masyarakat boleh berniaga dengan mudah, malah tak perlu kami pergi ke bandar (Kuantan) untuk memohon dan membayar permit,” katanya yang ditemani isteri, Norsofiah Yusoff, 27.
Bagi peniaga bubur ayam dan jagung, Faizal Asyraf Razali, 27, walaupun baru dua bulan menjalankan perniagaan itu, dia berasa amat bersyukur dengan pendekatan diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
“Dulu saya berniaga perkakasan telefon bimbit tetapi gulung tikar akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Bagi peniaga makanan baru seperti saya, memang terasa mudah betul apabila MPK buat macam ini.
“Paling penting saya tak perlu berdepan dengan kerenah birokrasi seperti ketika berniaga di KL (Kuala Lumpur) dulu,” katanya.
Zanariah Abd Rahim, 52, yang berniaga minuman pula berkata, selain memudahkan orang ramai mencari rezeki terutama ketika berdepan masalah kewangan berikutan COVID-19 sekarang, syarat yang dikenakan MPK juga amat mudah untuk diikuti.
“Kita yang terjejas PKP ini dapat berniaga dengan tidak risau di mana kita boleh berniaga asalkan menjaga kebersihan dan memastikan perniagaan tidak menghalang lalu lintas.
“Cara MPK ini sangat bagus dan memang amat memudahkan,” ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPK Dato’ Hamdan Hussin, berkata kebenaran berniaga itu diberi asalkan lokasi perniagaan dijalankan di tapak sesuai dan tidak menghalang lalu lintas serta tidak mendatangkan gangguan kepada penduduk setempat selain memastikan kebersihan terjaga.
“MPK sudah mengeluarkan 1,210 permit harian untuk kemudahan kepada lebih 100 peniaga sejak Julai lalu.
“Apabila kami ambik pendekatan ini, golongan yang terjejas dan hilang pendapatan disebabkan pandemik sebab COVID-19, dapat kembali berniaga dengan lebih mudah.
“Bukan saja langkah ini dapat memulihkan pendapatan, malah kuasa beli mereka juga semakin baik,” jelasnya.