Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya RM471.6 juta diperuntukkan kerajaan bagi tujuan pemberian Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia kategori B40.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata: “Usaha ini antara lain bertujuan meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40 dan melatih masyarakat membudayakan norma baharu.
“Pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.6 juta keluarga B40. Secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR.”
Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 apabila liputan imunisasi penduduk dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.
Menurutnya, keutamaan suntikan dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi.
Katanya, anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan, warga emas dengan komorbiditi dan individu yang bekerja di pusat jagaan jangka panjang adalah antara yang akan menerima suntikan ketiga itu.
“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.
“Oleh itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.