BERA: Hanya kestabilan politik disusuli dengan keharmonian seperti konsep ‘Keluarga Malaysia’ akan wujudnya kemakmuran di kalangan rakyat yang kemudiannya mencetuskan keadaan ekonomi yang baik.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian juga dengan adanya sikap bertoleransi yang ditonjolkan rakyat dalam Keluarga Malaysia yang membolehkan ekonomi negara terus bangkit.
Ismail Sabri berkata menerusi hasil tolerans inilah Malaysia berjaya mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbaik di Asia Tenggara.
“Di Bera ini walaupun kita ada pelbagai kaum dan agama tapi mampu hidup aman dan harmoni. Dengan kemakmuran dan keharmonian, kerajaan boleh memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang berterusan.
“Ramai di kalangan peniaga mahu melihat politik stabil dan negara aman kerana keadaan begitu membolehkan mereka menjalankan perniagaan,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian dalam Majlis Muafakat Keluarga Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Triang 2, di sini, pada 30 Oktober lalu. – HUSIN IBRAHIM