Keluarga terharu Paksu Yi dipilih Perdana Menteri ke-9

Keluarga terharu Paksu Yi dipilih Perdana Menteri ke-9

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

TEMERLOH: Seluruh ahli keluarga dan penduduk Kampung Bukit Tingkat, di sini, terharu dan bangga apabila Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, hari ini. 

Sehubungan itu, mereka berharap beliau dapat menjalankan tugas dengan amanah dan jujur untuk agama, rakyat serta negara tercinta sebagai Perdana Menteri seperti yang pernah diimpikannya kira-kira 20 tahun lalu. 

Azhar Mohamad, 56, berkata semua ahli keluarga terharu apabila impian Ismail Sabri yang juga ayah saudaranya untuk menjadi Perdana Menteri akhirnya menjadi kenyataan. 

Azhar Mohamad menonton siaran langsung istiadat angkat sumpah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 di rumahnya di Kampung Bukit Tingkat, Temerloh.

Menurut Azhar, bapa saudaranya itu atau lebih mesra dengan panggilan Paksu Yi di kalangan ahli keluarga dan rakan sekampung pernah menyatakan cita-citanya itu apabila ditanya mengenai tujuannya menyertai politik.

“Peristiwa itu berlaku pada raya puasa (Aidilfitri) kira-kira 20 tahun lalu. Ketika itu kami sekeluarga berkumpul di rumah bapa saudara kepada Paksu Yi yang dikenali dengan gelaran Mat Kelantan di Kampung Paya Banir.

“Ketika itu, Paksu Yi ditanya oleh bapa saudaranya itu mengenai tujuannya menceburi bidang politik. Paksu Yi kemudian memberitahu kerana bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri. 

“Bapa saudara Paksu Yi itu kemudiannya berkata, dia mendoakan agar cita-cita Paksu Yi menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.

Azhar berkata, Ismail Sabri seorang yang ceria dan suka melayan anak saudara serta keletah cucunya.