Kem Tango akan dibangunkan semula

Kem Tango akan dibangunkan semula

PEKAN: Usaha mengindahkan kawasan Kem Tango, Tanjung Gosong, di sini, kini dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, antara kerjasama itu adalah aktiviti menanam pokok dan membersih kawasan menerusi program alam anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menurutnya, program kali pertama itu turut disertai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran yang menyediakan 114 pokok ketapang, kelat pucuk merah dan jambu laut.

“Kem Tango kini melalui proses menaik taraf dan pengubahsuaian, ia akan kembali digunakan untuk pelbagai aktiviti kokurikulum seperti sebelum ini.

“Untuk rekod tapak perkhemahan Kem Tango ini pernah menjadi lokasi Perkhemahan Peringkat Asia Pasifik Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) pada 2010 selain perkhemahan pasukan beruniform peringkat kebangsaan,” katanya selepas turut sama menyertai program alam, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, Kem Tango mampu menampung kira-kira seribu pelajar dan urusetia dalam satu-satu masa. – MOHD IMRAN IZZAD