Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUANTAN: Biro Tatanegara (BTN) perlu dikembalikan bagi menyemai semula semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda, selaras dengan kehendak dan aspirasi negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long, berkata pemansuhan BTN pada 2018 dipercayai menjadi antara punca masyarakat hari ini terutama dalam kalangan orang muda rapuh jati diri dan tidak mempunyai semangat patriotisme tinggi.
Beliau yang pernah mengisi jawatan Pengarah BTN Pahang, berkata hal ini dapat dilihat di media sosial apabila ramai yang tidak lagi mempunyai perasaan hormat kepada negara termasuk memperlekehkan institusi di raja.
“Kalau kita lihat di media sosial hari ini, ramai yang sudah tidak hormat serta tidak mempunyai semangat dan kecintaan kepada negara, malah institusi di raja selain golongan pemimpin.
“Perkara sebegini walaupun ada sebelum BTN dimansuhkan, ia tidaklah keterlaluan seperti sekarang ini. Jadi bagi saya eloklah BTN ini diwujudkan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual Fikrah Pahang di sini.
Menurutnya, selain memupuk semangat patriotisme, BTN mampu membentuk sahsiah diri dan sikap positif dalam kalangan peserta yang akan diamalkan sampai bila-bila.
“Saya sendiri boleh dikatakan sepertiga daripada hidup memang terbabit dengan BTN. Apa yang boleh saya katakan, saya amalkan integriti setiap masa sampai saat jadi wakil rakyat sekali pun.
“Saya tak pernah meminta yang bukan-bukan, tak pernah minta kawasan balak contohnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, golongan muda perlu mendalami erti kemerdekaan dan memerdekakan diri mereka daripada kemelut yang sedang dihadapi.
“Contohnya jika sekarang susah hendak bekerja disebabkan penularan COVID-19, mereka boleh cuba mencari jalan dengan berniaga secara online yang bukan sahaja menjanjikan pulangan, malah mampu memberikan kemewahan.
“Selagi kita dibelenggu dengan pelbagai masalah tanpa mencari jalan keluar, selagi itulah kita belum merdeka,” katanya.