KUALA LUMPUR: “Kita harus kembalikan ‘Malaysia Asal’, bukan retorik ‘Malaysia Baharu’ yang ternyata gagal,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar pada Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Katanya, Malaysia Asal atau ‘The Original Malaysia’ yang dimaksudkan adalah berpandukan formula BN yang digagaskan generasi terdahulu yang dipaterikan melalui Perlembagaan Persekutuan.
“Ia diperkasakan lagi melalui Rukun Negara dan pelbagai dasar berteraskan prinsip toleransi dan kesetiaan tinggi dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“BN beriltizam untuk mengembalikan acuan Malaysia yang asal, namun dengan penambah baikan bagi memperbaiki segala kelemahan dan menjernihkan segala keterlanjuran masa lalu, termasuk agenda pembaharuan institusi berpandukan prinsip tadbir urus yang baik (good governance), ketelusan (transparency) dan pembasmian segala bentuk penyimpangan serta rasuah,” katanya.
Tambahnya, boleh disimpulkan, kesan daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, negara tidak lagi merasai suasana kestabilan sebagaimana zaman BN memerintah atas beberapa faktor berikut.
“Antaranya, keghairahan menawarkan Malaysia Baharu dengan merungkaikan asas toleransi pelbagai kaum menerusi cubaan merobek sifat keindukan Bumiputera Melayu Islam dalam kemajmukan.
“Pendekatan Malaysia Baharu untuk mewujudkan kesamarataan menggantikan prinsip kesaksamaan yang digagaskan BN telah melebarkan lagi jurang hingga mencetuskan kegusaran dan menajamkan prejudis hingga menggugat keharmonian dan formula Malaysia Baharu yang kononnya mahu diterjemahkan melalui tadbir urus yang baik dan sifat ketelusan hanyalah indah khabar dari rupa,” jelasnya.
Menurutnya, kuasa yang dimandatkan rakyat dieksploitasi sepenuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membunuh seteru politik, bahkan cubaan memadamkan segala legasinya termasuklah memanipulasikan institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang.
“Malah (PH) tergamak memandulkan institusi Parlimen untuk kekal berkuasa. Tiadanya kesetiaan kepada apa yang disepakati oleh para pembina negara dahulu, mengakibatkan kesusilaan semakin pudar.
“Sehubungan itu, apa yang kita lalui selama hampir empat tahun ini, meyakinkan kita bahawa hanya acuan Barisan Nasional sahaja yang mampu mencipta kestabilan,” ujarnya. – HELMY ABD RAHMAN