Kementerian perlu buktikan pencapaian dalam 100 hari, kata PM

Kementerian perlu buktikan pencapaian dalam 100 hari, kata PM

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama selepas pembentukan kabinet.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu untuk memastikan barisan jemaah menteri yang baru dilantik, menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Barisan kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggung jawab yang diberi dengan komited dan lebih proaktif.

“Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang serta mencapai sasaran ditetapkan. Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung bagi mengumumkan barisan kabinet Kerajaan Persekutuan, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau berharap  pelantikan itu memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik berkenaan. 

“Namun, kabinet saya tidak boleh bekerja bersendirian. Kami memerlukan dokongan semua penjawat awam dan seluruh Keluarga Malaysia. 

“Oleh itu, marilah kita menggembleng segala usaha dan daya serta bekerja bersama rakyat dalam misi memulihkan negara,” katanya.