Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUANTAN: Semua kemudahan kesihatan di negeri ini masih mampu untuk menangani kes COVID-19 yang dilaporkan naik mendadak sejak minggu lalu.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini kapasiti katil di semua hospital di Pahang mencukupi dan belum mencapai tahap maksimum.
“Segala kemudahan kesihatan termasuk katil untuk kes COVID-19 tidak berdepan masalah dan petugas kesihatan juga sedang melakukan yang terbaik bagi memastikan setiap kes dapat dikendalikan sebaik mungkin.
“Sekarang ini semuanya masih dalam kawalan dan inilah pentingnya kita melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana ia bertujuan mengawal keadaan daripada berlaku situasi tidak terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Lumpur, dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri berharap rakyat di negeri ini lebih peka dan tidak bergerak bebas sepanjang PKP dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 akibat kedegilan segelintir masyarakat yang bersikap acuh tak acuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Tidak dinafikan, memang masih ada segelintir yang tidak mematuhi SOP, cuma kita harap apabila PKP dikuatkuasakan, mereka ini lebih peka dan tidak lagi bebas bergerak hingga menyukarkan usaha untuk memutuskan rantaian pandemik ini (COVID-19) di Pahang,” katanya.
Sehingga semalam, Pahang merekodkan 63 kes positif baharu membabitkan 18 kes dari Kluster Tanah Putih; Kluster Mahkota Height (dua); Kluster Indera Mahkota 2 (satu); kes hasil saringan kontak rapat (29); kes saringan bergejala (lapan); empat kes saringan bersasar dari kawasan dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) dan satu kes saringan pekerjaan.
Mengulas rungutan orang awam mengenai lokasi sekatan jalan raya (SJR) dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pahang, Wan Rosdy berkata, pemilihan setiap lokasi bagi mengadakan sekatan jalan raya dibuat selepas kajian teliti dilakukan.
“Lokasi ini diputuskan selepas kajian dibuat… memang tidak dinafikan apabila ada sekatan jalan raya, pergerakan orang ramai sedikit terganggu dan inilah tujuan utama kita buat PKP, untuk mengurangkan pergerakan orang ramai.
“Kalau tidak ada sekatan jalan raya dan semua bebas ke sana ke sini, maknanya kita tidak akan berjaya mengurangkan risiko penularan COVID-19 dan akhirnya menyusahkan semua pihak,” katanya.