PEKAN: Dua jeti konkrit di Kampung Tanjung Gosong, di sini, antara bukti usaha Kerajaan Pahang yang diterajui Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib lebih 40 nelayan tradisional di daerah ini.
Nelayan, Mohd Hanafi Husain, 48, berkata jeti yang ada itu dapat memudahkan lagi nelayan untuk memindahkan hasil tangkapan ke darat.
Menurutnya, jeti berkenaan turut digunakan oleh pemancing yang datang setiap hujung minggu dan cuti umum.
“Kami juga ada menerima bayaran elaun sara hidup disediakan kerajaan yang turut melayakkan kami membeli minyak bersubsidi dan menerima pelbagai bantuan peralatan menangkap ikan.
“Mereka yang menggunakan jeti Tanjung Gosong terdiri daripada nelayan beberapa kampung seperti Kampung Lamir, Kampung Tanah Putih, Kampung Serandu dan Kampung Tanjung Selangor,” katanya.
Sementara itu, Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Dato’ Mohd Nizar Najib berkata, sekiranya jawatan wakil rakyat berjaya disandang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini, beliau akan berusaha memastikan semua nelayan memiliki lesen bot menangkap ikan di laut.
“Usaha menyediakan lebih banyak kemudahan turut akan dilakukan secara berperingkat dengan sokongan agensi berkaitan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan nelayan di jeti Kampung Tanjung Gosong, di sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD