BERA: Orang muda 18 tahun ke atas berhak untuk memilih kerajaan masa depan dan hak mereka tidak boleh dinafikan, kata YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, Dewan Rakyat tidak boleh dibubarkan pada akhir 2021 kerana ia akan memberi isyarat seolah-olah kerajaan enggan memberi peluang kepada kumpulan itu untuk mengundi.
Bagaimanapun, katanya, pengundi 18 tahun boleh mengundi dan menentukan kerajaan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan selepas pertengahan Januari 2022.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kumpulan pengundi 18 sebenarnya cabaran besar buat Pemuda dan Puteri dalam membantu kemenangan parti dengan cara pendekatan lebih bijak supaya anak muda berpihak kepada parti.
“Seandainya mereka dinafikan hak mengundi dalam PRU-15, kita juga mungkin bakal ‘dihukum’ (pada PRU-16) sekiranya kita menafikan hak mengundi mereka sekarang,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita , Pemuda, Puteri UMNO Bahagian Bera.
Ismail Sabri berkata, semua ahli parti sepatutnya menjadikan undi18 sebagai satu iltizam untuk bekerja lebih kuat dalam memberikan keyakinan kepada golongan itu demi kepentingan dan kemenangan parti.