Oleh Husin Ibrahim
fikrahpahang@fikrahpahang.gmail.com
CAMERON HIGHLANDS: Pelaksanaan langkah langkah kawalan untuk mengekang penularan wabak pendemik Covid-19 tidak boleh dipandang remeh.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria,
berkata banyak aspek perlu diteliti walaupun ada permohonan oleh kerajaan negeri agar sektor pelancongan kembali beroperasi seperti sebelumnya.
Menurutnya, ia perlu diteliti supaya kebenaran untuk beroperasi itu tidak menjejaskan
usaha pengekangan pandemik Covid-19 daripada terus menular.
“Kita faham ramai penggiat industri ini terjejas pendapatan dan menghadapi masalah kewangan yang runcing. Begitu juga hilangnya pendapatan negeri dan negara akibat daripada penutupan industri ini sejak mulanya wabak ini.
“Namun, kita utamakan keselamatan awam. Apa yang kita mahukan dan elakkan adalah apabila industri ini beroperasi, ia tidak menjadi penyebab kepada penularan dan jangkitan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama agensi pelancongan dan Pejabat Daerah Cameron Highlands.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ Ishak Md Napis.
Mohd Zairasyahli Shah berkata, MKN sudah pun memastikan penduduk dan penggiat industri ini di Bukit Fraser, Pulau Tioman, Taman Negara menerima suntikan vaksin Covid-19.
Kataya, kedua-dua pihak, penduduk tempatan dan pelancong perlu dilindungi dengan suntikan vaksin lengkap dan ia syarat utama dalam untuk sektor berkenaan jika hendak beroperasi semula.