Oleh Husin Ibrahim
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Kenaikan elaun bulanan bagi 543 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Pahang tepat pada masanya dan seharusnya menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk menjalankan tugas dengan lebih baik.
Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid, berkata dengan kenaikan itu, setiap JPKK di negeri ini diharap terus memainkan peranan penting di peringkat komuniti terutama berkaitan penyampaian maklumat tepat kepada masyarakat setempat, lebih-lebih lagi ketika penularan Covid-19 seperti sekarang.
“Saya percaya ia pasti khabar gembira buat 543 JPKK di Pahang sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap peranan JPKK dan sumbangan mereka kepada komuniti setempat,” katanya.
Semalam, Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan Kerajaan Pahang bersetuju menaikkan elaun bulanan bagi 543 Pengerusi JPKK di negeri ini, daripada RM500 kepada RM750.
Difahamkan, kenaikan sebanyak RM250 atau 50 peratus itu berkuatkuasa 1 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Mustaffar Kamal berkata, peranan JPKK amat penting untuk menjadi ejen penghubung antara rakyat dan kerajaan negeri sehingga ke peringkat akar umbi.
“Diharapkan, semua kepimpinan di peringkat komuniti dapat memahami dan menyebarkan aspirasi kerajaan negeri ke peringkat kampung dan komuniti masing-masing seterusnya memberi penerangan sebaiknya kepada penduduk kampung,” katanya.