Kenderaaan ‘unik’ sambut pengundi di Kuantan

Kenderaaan ‘unik’ sambut pengundi di Kuantan

KUANTAN: Pengundi yang datang ke pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sera di sini hari ini menerima kejutan apabila disediakan dengan beberapa kenderaan ringan bagi memudahkan urusan pembuangan undi.  

Pengundi berpeluang menaiki skuter elektrik (e-skuter), basikal, beca dan kenderaan ‘buggy’ yang disediakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

#kuantan Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin pada sesi lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Sira bagi penggunaan skuter elektrik yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk kegunaan pengundi di sini. Gambar oleh Mustaffa Kamal

Kenderaan buggy menjadi pilihan warga emas, manakala yang muda memilih e-skuter, basikal dan beca.  


Pengundi menaiki buggy yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Kuantan di SMK Tok Sera, Kuantan

Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin, berkata perkhidmatan itu julung kali diperkenalkan untuk kemudahan pengundi.

“Pengundi mempunyai pilihan menaiki buggy yang dipandu kakitangan MBK untuk ke tempat pembuangan undi yang etrletak kira-kira 100 meter (m) dari pintu masuk sekolah.

“Perkhidmatan ini menerima sambutan baik daripada orang ramai dan ramai juga mengambil peluang untuk bergambar,” katanya kepada media ketika ditemui di SMK Tok Sera di sini, hari ini.

Menurutnya, MBK menyediakan 30 e-skuter, beca (sembilan), basikal (lima) dan buggy (dua) di SMK Tok Sera.

“Secara keseluruhannya kita sediakan 50 e-skuter, beca (21), basikal (lima) dan buggy (10) di beberapa pusat mengundi dalam Parlimen Kuantan,” katanya menambah tiada caj dikenakan untuk perkhidmatan itu.

Bagi pengundi, Mohamad Shah, 25, perkhidmatan itu memang memudahkan orang ramai terutama golongan tua dan kurang berkeupayaan membuang undi.

“Ramai yang teruja nak naik kenderaan ini. Kedua orang tua saya pilih naik buggy, manakala saya pula pilih e-skuter,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN