Kepercayaan terhadap BN tidak pudar di Tioman

Kepercayaan terhadap BN tidak pudar di Tioman

ROMPIN: Sektor pelancongan di Pulau Tioman kini semakin berkembang maju hasil usaha dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman luas menguruskan negara.

Ketua Kampung Juara, Razib Ali Awang berkata, selepas lebih dua tahun Pulau Tioman sepi daripada pelancong berikutan wabak COVID-19, kini industri pelancongan kembali aktif.

Menurutnya, usaha gigih pemimpin untuk mengaktifkan semula sektor pelancongan di pulau itu terbukti berhasil dan memberi nafas baharu kepada peniaga yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pelancong.

“Saya dapati pemimpin sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan penduduk dengan menyediakan pelbagai bantuan, termasuk apabila tiba musim tengkujuh,” katanya, di sini, hari ini.

Razib berkata, sebagai pemimpin di peringkat kampung, beliau akan pastikan penduduk Kampung Juara mengundi calon BN bagi Parlimen Rompin, Dato’ Sri Hasan Arifin

dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Sri Mohd Johari Hussain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Bagi Ketua Kampung Salang, Mohd Shrif Rahmat, setiap bulan wakil rakyat BN berkunjung ke Pulau Tioman bagi melihat sendiri perkembangan semasa selain bertemu dengan penduduk.

“Saya dapati kepercayaan rakyat pada pemimpin BN tidak pernah pudar, mereka yakin hanya BN sahaja dapat membela nasib mereka dalam apa juga keadaan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD