Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Zulkepli Osman
CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan Pahang kini mengambil sikap proaktif untuk membantu rakyat yang memerlukan apabila mencari golongan yang memerlukan bantuan berbanding menunggu maklumat sebelum bertindak.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu perlu diambil bagi membolehkan bantuan sampai dengan lebih cepat kepada golongan disasarkan.
Beliau berkata, sebelum ini kerajaan negeri menunggu maklumat termasuk aduan diterima di media sosial (Medsos).
“Saya bersama-sama rakan Exco telah buat keputusan, kita kena buat anjakan paradigma, kena buat perubahan iaitu daripada kita menunggu, kita kena mencari.. sebab lazimnya, kita nak membantu kita kena dapat maklumat dari Facebook (FB), Instagram, TikTok dan sebagainya, baru kita bertindak.
“Jadi sekarang ini saya minta ketua-ketua jabatan, DO (pegawai daerah), supaya pergi mencari kalau ada orang susah, kita pergi jumpa dulu, jangan nanti orang lar datang, NGO (badan bukan kerajaan) datang baru kita kelam-kabut, lepas tu kita marah pula mereka sebab beri bantuan tempat kita, walhal kita tak mencari orang susah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sebelum menyempurnakan bantuan ’empat dalam satu’ untuk masyarakat daerah ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Tengkolok, Tanah Rata di sini, semalam.
Empat bantuan terbabit meranagkumi sumbangan bernilai RM500,000 untuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Fasa 3, Bantuan Pelajaran Mara – Kembali ke Sekolah, Inisiatif Jubah dan bantuan untuk Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).
Hadir sama, Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.