Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Sekumpulan di antara 15 dan 20 kera yang setiap hari menyelongkar tong sampah menimbulkan keresahan penduduk di Bandar Damansara Kuantan, di sini.
Haiwan liar terbabit turut merosakkan peralatan dan kemudahan awam di kawasan perumahan itu dan kadangkala bertindak ganas terhadap penduduk.
Penduduk, Datuk Haffizan Rizal Abd Halim, berkata kehadiran hidupan liar itu sudah lama berlaku namun semakin ketara sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, semua kera itu percayai datang dari hutan berdekatan dan kerap muncul pada tengah hari untuk mencari makan dengan menyelongkar tong sampah.
“Kumpulan haiwan liar itu juga memasuki kawasan halaman rumah penduduk dan bertenggek di atas pagar serta bumbung rumah.
“Apabila dihalau ada antara kera terbabit yang bertindak ganas dengan cuba menyerang dan sekali gus menyebabkan penduduk berasa tidak selamat,” katanya.
Haffizan Rizal berkata, penduduk berharap pihak berkaitan terutama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Sebelum berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, saya bagi pihak penduduk berharap PERHILITAN dapat bertindak segera,” katanya.
Sementara itu Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya akan menyiasat kes berkenaan sebelum sebarang tindakan dilakukan.
“Sekiranya sesuai tindakan memasang perangkap akan dilakukan,” katanya.