Kerajaan akan bantu mangsa kebakaran di Karak

Kerajaan akan bantu mangsa kebakaran di Karak

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

BENTONG: Kerajaan Pahang akan menentukan bentuk bantuan yang boleh disalurkan segera kepada 51 keluarga dan 11 pemilik kedai yang musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Karak, di sini, 1 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abd Rahim Muda, menerusi portal Harian Metro dipetik sebagai berkata, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Zulkifli Hashim dipertanggungjawabkan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita mengarahkan pegawai daerah untuk bertindak segera membantu semua mangsa dengan bantuan awal sudah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya juga meminta supaya nama dan butiran semua keluarga terjejas dikumpul segera untuk dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Sudah pasti peruntukan kewangan akan menyusul, cuma jumlahnya kita tak pasti. Ia akan dibincang dan ditentukan oleh Menteri Besar nanti,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, 48 rumah dan lapan kedai musnah dalam kebakaran pada 9.10 malam, di Kampung Baru, Karak. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.