Kerajaan bantu 58 usahawan muda 

Kerajaan bantu 58 usahawan muda 

PEKAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang memberi Geran Agropreneur Muda (GAM) kepada 58 individu berjumlah RM700,000 sepanjang dua tahun sejak 2018.

Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri berkata, mereka yang menerima bantuan terbabit terdiri daripada individu yang terbabit dalam sektor pertanian dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Menurutnya, antara syarat kelayakan bantuan ialah individu terbabit terbukti berjaya menceburi bidang pertanian dan IKS selain menampakan kejayaan.

“Sebelum 2021 kerajaan menyediakan bantuan RM15,000 kepada individu yang layak namun selepas itu jumlahnya dinaikkan kepada RM20,000. 

“Setiap tahun FAMA menerima banyak permohonan untuk mendapatkan geran agropreneur muda namun tapisan dan tinjauan perlu dilakukan, mereka yang layak sahaja diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Geran Agropreneur Muda kepada usahawan makanan durian crepe di FELDA Chini yang sempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain, semalam. 

Teks ucapanya dibaca oleh Timbalan Pengarah Operasi FAMA Pahang, Shabuddin Mohd Nor. – MOHD IMRAN IZZAD